Tarikh:

Perodua jangka operasi pulih sepenuhnya Julai



KUALA LUMPUR 4 Mei - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjangkakan operasinya akan pulih sepenuhnya menjelang Julai ini, lebih awal daripada jangkaan sebelumnya.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, bencana alam di Jepun telah menjejaskan bekalan bagi 23 komponen enjin dan aksesori bagi model Myvi, Viva dan Alza.
Antara komponen utama yang terlibat ialah unit kawalan enjin, transmisi automatik elektronik, sistem brek dan cat metalik.
''Dengan bantuan Daihatsu Motor Company (DMC), kami menjangkakan pemulihan sepenuhnya dapat dilihat pada bulan Jun dan operasi kembali pada landasan menjelang Julai nanti,'' katanya pada taklimat akhbar di sini hari ini.
Aminar mengakui bahawa pihaknya turut mengalami pembatalan tempahan akibat kelewatan penghantaran kereta keluarannya yang menunggu komponen dari jepun tetapi jumlahnya terlalu kecil sekitar satu hingga dua peratus daripada jualan keseluruhan.
Beliau juga mengumumkan Perodua akan membina kilang transmisi automatik elektronik (EAT) dengan pelaburan antara RM200 juta hingga RM250 juta.
Katanya, projek itu akan dimulakan pada suku keempat tahun ini dan pengeluaran dijangka dapat dilihat pada suku keempat tahun depan.
Tambahnya, produk yang dihasilkan itu akan digunakan untuk keperluan domestik dan dieksport.
''Pembinaan kilang ini adalah merupakan strategik Perodua untuk meningkatkan kecekapan dan pada masa sama mengurangkan kos,'' ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas tentang pengagihan ekuiti dalam kilang itu, sama ada ia turut disertai oleh DMC atau pihak-pihak lain.
''Semuanya (pegangan ekuiti) masih dalam rundingan, lokasinya juga belum dimuktamadkan lagi,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment