Tarikh:

Tidak perlu untuk bergabung

KUALA LUMPUR 4 Mei - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) tidak nampak sebarang faedah menggabungkan syarikat itu dengan Proton Holdings Bhd. (Proton).
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pendirian itu telah dinyatakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Menurut beliau, walaupun tidak bergabung, Proton-Perodua masih boleh bekerjasama dalam aspek-aspek lain.
''Sebenarnya, Datuk Seri Syed Zainal Syed Tahir (Pengarah Urusan Proton) telah pun memaklumkan kepada media mengenai kerjasama itu.
''Seperti kata Syed Zainal, saya juga berpendapat bidang-bidang berkenaan memang berpotensi untuk bekerjasama dua pihak,'' kata beliau ketika ditanya tentang pendirian Perodua terhadap cadangan penggabungan antara dua syarikat kereta nasional itu.
Sambil menyatakan beberapa pertemuan telah dilakukan, Aminar menambah, kerjasama itu boleh dibentuk menerusi perolehan dalam bahan-bahan mentah, pembangunan vendor dan perkongsian sokongan.
Sementara itu, Aminar berkata, model terbaharu keluaran Perodua dijangka dipasarkan antara bulan ini dan Ogos ini mampu membantu syarikat itu mencapai unjuran asal jualan tahun ini berjumlah 195,000 buah.
Aminar berkata, pada bulan April lalu, pihaknya hanya mengunjurkan jualan 13,800 buah kenderaan berbanding bulan Mac sebanyak 17,900 buah dan menjangkakan prestasi yang sama pada Mei ini.
''Walaupun bekalan alat ganti dan komponen terjejas, kami tetap mempertahankan unjuran jualan asal.
''Kami mempunyai lapan bulan lagi untuk mencapai sasaran jualan dan pelancaran model terbaharu nanti akan membantu (meningkatkan jualan,'' kata beliau.
Aminar yang diasak dengan pelbagai soalan mengenai tarikh pelancaran model terbaharu itu, beliau berkata: ''Saya belum mendapat ilham lagi, tunggu''.
''Kad jemputan bagi uji pandu akan dihantar. Kalau sudah terima (kad) bermakna sudah hampirlah dengan hari pelancaran,'' ujar beliau sambil enggan mengulas sama ada ia benar-benar model baharu sepenuhnya atau sekadar dipertingkatkan.
''Apa yang boleh saya katakan ia adalah kenderaan kompak berkuasa antara 650cc sehingga 1.5 liter,'' ujarnya.
Aminar berjaya mengawal keghairahan wartawan mengenai model terbaharu itu berkata: ''Saya cuma boleh memberi jaminan bahawa model terkini ini adalah mampu milik harganya, berkualiti tinggi, lebih baik prestasi pemanduan, kawalan emisi dan menjimatkan petrol."

No comments:

Post a Comment